Ekspedisi ke Syria Penaklukan_Levant_oleh_Muslim

Peta memperincikan serangan tentera al-Rasyidin terhadap Levant.

Khalid menubuhkan pangkalannya di Iraq setelah berjaya mengalahkan Sasan serta menakluki Iraq. Tentera Islam juga berhadapan dengan klien Arab Empayar Byzantine, yakni kerajaan puak Ghassan. Anggota daripada puak-puak di seluruh semenanjung Arab menyahut panggilan dari Madinah dan hanya puak yang memberontak dalam peperangan-peperangan Riddah ditolak daripada menganggotai tentera Islam (puak ini tidak dibenarkan menyertai tentera al-Rasyidin sehingga tahun 636 M apabila dibenarkan Khalifah Umar al-Khattab bagi menampung kekuatan tentera dalam Pertempuran Yarmuk dan Pertempuran al-Qadisiyyah).

Tradisi mengumpul anggota tentera daripada kabilah-kabilah berkekalan sehinggalah tahun 636 apabila Khalifah Umar mengatur tentera sebagai sebahagian daripada jabatan negara.

Dalam kempen Syria, Khalifah Abu Bakar mengatur tentera ke dalam empat kor atau formasi, masing-masing dengan panglima dan objektif tersendiri.

Oleh sebab Khalifah Abu Bakar tidak mengetahui kedukukan dan lokasi terperinci tentera Byzantine, beliau telah mengarahkan yang semua kor dapat berhubung sesama mereka agar dapat memberi bantuan sekiranya Byzantine berkumpul di sesuatu wilayah. Abu Ubaidah dilantik sebagai Panglima Besar sekiranya keempat-empat kor terpaksa berkumpul untuk pertempuran besar.[2]

Angkatan Muslim mula bergerak dari Madinah pada minggu pertama April 634 M; yang pertama bergerak ialah kor Yazid, diikuti Syurahbil, Abu Ubaidah dan Amr, dengan jarak masing-masing sehari kawad dari yang lain.

Khalifah Abu Bakar berjalan seketika di sisi setiap panglima. Pesanan beliau yang diulangi kepada setiap panglima kor adalah seperti berikut:

Janganlah anda terlalu keras terhadap diri anda ataupun tentera anda semasa perjalanan anda. Jangan bengis terhadap anggota ataupun pegawai anda yang harus anda rujuk dalam setiap perkara. Berpegang pada keadilan dan elakkan kezaliman, kerana tiada negara yang zalim yang dapat menjadi makmur ataupun mencapai kemenangan terhadap musuh-musuhnya. Apabila anda bertemu musuh, jangan paling ke belakang; kerana sesiapa yang memalingkan belakangnya, selain untuk mengatur gerak tempur atau untuk berkumpul semula, akan mendapat kemurkaan Allah. Tempatnya adalah di Neraka, dan bukankah ia tempat yang paling dahsyat! Dan apabila anda mencapai kemenangan terhadap musuh-musuh anda, jangan bunuh wanita ataupun kanak-kanak ataupun orang tua dan jangan bunuh binatang melainkan sebagai makanan. Dan jangan langgar perjanjian yang anda buat.[3] Anda akan ketemu orang yang tinggal macam pertapa di biara-biara, yang mempercayai bahawa mereka telah mengabaikan semua perkara duniawi untuk Tuhan. Biarkan mereka dan jangan rosakkan biara-biara mereka. Dan anda akan berjumpa orang yang mengikut Syaitan dan menyembah Salib, yang mencukur pusat kepala agar dapat dilihat kulit kepala. Serang mereka dengan pedang-pedang anda sehingga mereka memeluk Islam ataupun membayar Jizya. Saya serahkan kalian kepada penjagaan Allah.